“Waang keluar la malam-malam. Karang jumpo la kareto rogek ..” (kamu keluarlah malam-malam. Nnt jumpalah hantu kereta buruk tu..)
Cerita ayah saya apabila nenek cuba menakut-nakutkan dengan cerita hantu kereta buruk yang boleh gerak sendiri untuk mengelakkan perangai suka berjalan hingga lewat malam.
Teringat pula cerita hantu kereta walkswagon kuning di Terowong Menora, Kuala Kangsar, Perak yang tiada pemandu. Kisah ini memang terkenal kerana ianya selalu mengganggu pengguna lebuhraya utara-selatan yang melalui kawasan itu di tengah malam.
Dan pula banyak lagi kisah-kisah seram dan menakutkan sehingga cerita-cerita seram ini sudah dijadikan seperti budaya bagi masyarakat kita. Di dalam masyarakat kita, memang kita boleh mendengar pelbagai kisah mistik dan misteri yang dikaitkan dengan jelmaan yang dinamakan hantu. Mungkin kita sudah biasa mendengar nama-nama seperti toyol, pocong, Pontianak, langsuir, kuntilanak, nyi blorong, kerana spesis-spesis hantu tersebut namanya telah mencapai tahap komersial.
Selain itu, terdapat juga jelmaan berbentuk seperti orang yang kita kenali. Semuanya bertujuan untuk menakut-nakutkan kita dan langsung tidak mengingati Allah S.W.T.
Seperti yang ramai ketahui, hantu itu memang tiada, tetapi yang ada hanya jin dan syaitan yang berusaha menyesatkan anak cucu Adam sehingga hari kiamat.
Tetapi apabila berkata tentang jelmaan-jelmaan berbentuk hantu ramai yang berkata..
“Hang mimpi ja kot tu. Mana ada hantu…”
“Ngarutlah.. mana ada hantu…”
“Hang nampak tu benda khurafat.. Dosa taw..”
Mungkin akan timbul rasa tidak puas hati bagi mereka yang pernah melihat jelmaan tersebut, mendengar ayat-ayat seperti di atas. Kan lebih sedap di dengar jika bahasanya:
“Sebenarnya benda tu syaitan.. saja nak kacau hg”
Di sini saya ingin buka perbincangan mengenai alam dimensi yang lain daripada alam kita. Berikut saya ceritakan pengalaman sepanjang hidup saya yang berkenaan dengan perkara-perkara sebegini. Cerita ini saya sengaja kongsi untuk perbincangan dan pertukaran ilmu bersama. Walaupun nampak mengarut.
SK Panglima Bukit Gantang.
Sekitar tahun 1998 - Hantu Jepun.
Ketika itu saya masih belajar di sekolah tersebut pada darjah 4. Saya tiba seawal 5.30 pagi ke sekolah, kerana jarak rumah saya dengan sekolah begitu jauh sekali. Saya terpaksa menaiki bas seawal pagi ke sana. Sekolah tersebut merupakan bekas sekolah melayu yang amat tua dan pernah dijadikan markas pemerintahan tentera jepun di negeri Perak suatu ketika dahulu.
Di sekolah tersebut pada waktu itu hanya ada saya dan kakak saya sahaja. Tetapi blok kelas darjah 4 dan blok kelas darjah 5 begitu terasing jauh. Blok kelas darjah 4 ketika itu terletak di hujung kaki bukit, manakala blok kelas kakak saya, iaitu blok darjah 5, terletak di atas bukit. Blok darjah 6 pula terletak di hujung kaki bukit lagi satu.
Ketika saya sedang mengemas kelas saya tiba-tiba saya terdengar bunyi derapan langkah seperti tentera berkawat. Semakin lama semakin dekat bunyi itu datang dan akhirnya ianya seperti berhenti di kawasan lapang sebelah kelas saya. Tetapi anehnya tiada langsung bayang orang berkawat.
Cerita-cerita berkenaan bunyi tentera Jepun berkawat pada malam hari memang sudah tersebar ke seluruh sekolah dan saya tidak menyangka yang saya sendiri alaminya. Ada juga beberapa guru dan pelajar dapat melihat kelibat tentera Jepun berkawat ketika program-program bermalam di sekolah. Bagi saya itulah pengalaman pertama saya dengan perkara aneh dan mistik sepanjang hidup saya.
Sekitar tahun 2000 - Lagi Hantu Jepun.
Juga cerita mengenai tentera Jepun. Pada pagi itu, saya tiba awal seperti biasa bersama seorang lagi pelajar perempuan darjah 4 juga daripada Tasek. Ketika itu saya belajar pada darjah 6 di sekolah itu lagi. Saya hanya mengikuti langkah pelajar tersebut dari belakang.
Saya ternampak pelajar tersebut menghentikan langkah dan lantas bertanya kepada saya, “abang ada dengar orang kawat x?” Saya teliti bunyi sekiling tetapi saya tidak mendengar apa-apa. Kami pun segera bergegas ke kelas masing-masing.
Ketika menuruni bukit untuk ke kelas, berhampiran dengan tokong lama, saya terlihat seseorang yang kelihatan terhuyung hayang, menyeret sesuatu di atas tanah. Semakin lama ia datang semakin dekat dan apabila ia melintasi hadapan saya, jelas susuk tubuh tersebut berpakaian seperti tentera sambil tangannya memegang sesuatu pedang atau parang dan menyeret pedangnya ke tanah. Saya seolah-olah bingung ketika itu dan tidak terfikir apa-apa. Apabila sampai ke kelas, baru saya tertanya “benda apa yang aku lihat tadi? Mana ada tentera kat sini pagi”. Waktu dalam tu baru nak rasa terkejut, meremang satu badan dan menggigil keseorangan di dalam kelas.
Apa yang saya nampak itu adalah hanya jelmaan yang menyerupai hantu Jepun. Seorang tukang kebun di sekolah itu menyatakan memang sudah ramai telah diganggu jelmaan-jelmaan seperti itu.
SMK Dato Syed Omar, Alor Setar, sekitar tahun 2001-2003.
Asrama di sekolah ini tidak begitu banyak cerita-cerita yang menyeramkan kerana ketika itu sekolah tersebut telah dikelilingi oleh taman perumahan dan kawasannya tidak sunyi seperti 10 tahun yang lepas. Sekolah ini sebenarnya telah dipindahkan ke tempat baru dan ketika saya belajar di sini, sejak tahun 2001, iaitu dari tingkatan 1, sekolah ini memang agak sunyi dari kisah-kisah misteri dan seram walaupun dikalangan orang Kedah sekolah elit ini agak terkenal dengan gelaran “sekolah orang jahat”.
Cumanya asrama puteri sering diganggu oleh orang minyak. Masih jelas lagi suatu petang, ketika semua bersiap ke surau untuk solat maghrib, terdengar jeritan seorang pelajar perempuan. Kelihatan beberapa abang senior bergegas seolah-olah ingin menangkap sesuatu. Saya pun ingin menyebok di celah pelajar-pelajar senior. Tiba satu susuk tubuh yang amat hitam legam, bermata merah muncul di hadapan saya. Bukan main terkejut waktu itu sampai lemah kaki untuk melangkah. Pelajar-pelajar senior terus mengejar orang minyak tersebut tetapi tidak berhasil.
Dua tiga hari selepas itu pula, dengar ceritanya mereka kejar toyol pula. Tetapi apabila sedang mengejar toyol tidak semena-mena toyol tersebut berpatah balik. Semua yang mengejar toyol habis bertempiaran kerana terkejut tiba-tiba toyol patah balik.
Taman Mulia, Alor Setar sekitar tahun 2002-2003.
Saya dan keluarga saya pernah menyewa sebuah rumah di Alor Setar. Ketika hendak pindah, keluarga kami agak tertanya-tanya mengapa tuan rumah ini tergesa-gesa pindah dan menyewa rumah lain sementara rumahnya siap. Selepas itu pula menyewakan kepada kami. Kami tidak terfikir panjang.
Dihalaman rumah tersebut terdapat dua pokok mangga yang begitu besar, tinggi dan rendang, memang secarik cahaya pun tidak boleh menembusi pokok tersebut. Barangkali umur pokok tersebut sudah mencapai 20-30 tahun. Pokok tersebut betul-betul di sebelah bilik saya.
Apabila kami pindah, seperti biasa kami akan membersihkan halaman, mengemas rumah dan sebagainya. Pada malam hari ketika hendak masuk tidur, saya terdengar bunyi orang mencakar daun-daun kering, seperti mana saya lakukan di siang hari. Apabila menjenguk di luar, tiada apa yang berlaku.
Ketika itu begitu terkenal dengan filem-filem seram seperti ju-on, dark water dan sebagainya. Saya seringkali terdengar bunyi seolah-olah filem itu di mainkan semula di dalam rumah. Tetapi tiada siapa. Bunyi-bunyi yang sering saya dengar adalah seperti:
“IKUKO!!!!”(filem dark water)
Ketika itu saya cuma menganggap jiran sebelah yang memainkan cerita tersebut pada pukul 3,4 pagi.
Pernah sekali ketika saya tidur, saya perasan seolah-olah ibu saya membangunkan saya dari tidur, ketika itu pukul 4 pagi. Apabila saya ke ruang tamu rumah saya menjenguk bilik ibu saya, saya dapati ibu saya masih tidur. Siapa pulak yang bangunkan tadi?
Apabila kami hendak pindah rumah, baru jiran-jiran sekeliling cerita yang rumah ini ada benda lain duduk. Sebab itulah mereka tergesa-gesa berpindah.
Apabila selepas pindah, ahli keluarga saya masing-masing buka cerita, hampir semua selalu mendengar seperti mana yang saya dengar. Pernah sekali suatu malam kakak saya ke dapur untuk minum pada waktu malam, dia menghala mukanya ke tingkap. Apabila selesai minum, bayang-bayangnya di tingkap masih tidak berhenti minum sedangkan dia sudah jauh dari dapur.
Lebih bermisteri rumah itu apabila bilik ibu bapa saya sering mengeluarkan bau seperti mayat. Tetapi tidak tahu dari mana puncanya. Sesetengah orang berpendapat ianya hantu ajuk. Kerana setiap perkara yang kita buat di rumah pasti dia akan ikut semula pada malam harinya.
Ini pula cerita daripada ibu saya, setelah setahun berpindah ke Kubur Panjang, kami kembali melawat ke Taman Mulia untuk menziarah rakan-rakan lama. Apabila lewat malam, kami pulang. Ibu saya terperasan terdapat sesuatu mengikuti kereta kami sehingga ke rumah. ‘Benda’ itu berasal dari pokok mangga yang rimbun itu dan menjelma dalam bentuk langsuir. Pada malam itu, ibu saya ‘bertarung’ dengan langsuir tersebut untuk mengelakkan diri kami dari diganggu makhluk tersebut.
MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang, sekitar tahun 2005.
MRSM Balik Pulau pernah digemparkan dengan kisah seorang pelajar puteri membunuh diri sekitar tahun 1988, akibat daripada menanggung malu kerana mengandungkan anak tanpa pernikahan. Beliau membunuh diri dengan cara terjun daripada bukit di belakang Blok B asrama lelaki. Sejak dari hari itu, kelibat wanita sering kelihatan di asrama tersebut terutamanya pada dorm saya, Dorm Samudera yang mana dorm paling dekat dengan tempat tragedi.
Tetapi Alhamdulillah setakat ini saya tidak pernah jumpa jelmaan-jelmaan yang berkaitan dengan tragedi itu sepanjang pengajian di Maktab tersebut.
Malam Pertama di MRSMBP.
Pada hari pertama mendaftar, iaitu sekitar tahun 2004, seperti biasa, minggu orientasi bermula. Macam-macam aktiviti yang dilakukan. Alhamdulillah MRSM Balik Pulau tiada budaya ragging/buli pelajar baru. Pada malamnya kami diberi briefing oleh abang-abang Badan Wakil Pelajar (BWP) tentang disiplin di asrama. Malam itu ketika hendak terlena, saya terdengar bunyi gelang kaki, yang selalu kedengaran jika ibu saya berjalan. Apabila saya toleh ke belakang, betul, jelmaan menyerupai ibu saya ada di belakang. Jelmaan tersebut langsung tidak melihat ke arah saya.
Toyol
Seawal tahun 2005, ketika kami pelajar tingkatan 5 baru mendaftar masuk semula untuk sesi pengajian tahun yang baru, keadaan sekitar maktab agak sunyi kerana masih belum lagi ada pengambilan pelajar tingkatan 4. Maktab kami hanya ada pelajar tingkatan 4 dan 5 sahaja.
Waktu subuh memang sunyi, pada waktu itu saya bergegas ke surau. Apabila saya ingin buka pagar asrama, saya lihat makhluk kecil berwarna hijau sedang leka bermain. Apabila ia ternampak saya, di terus menyusup lari dan hilang dalam kegelapan pagi. Seminggu selepas itu, saya lihat makhluk tersebut lagi. Kali ini di tandas.
Selepas daripada peristiwa itu, duit di koperasi maktab sering hilang dan saya syak. Ini mesti kerja budak kecik tu…
Abang! Minum Air!
Sewaktu minggu peperiksaan SPM, kebanyakan dari kami selalu stay up hingga lewat malam. Tapi bagi saya, lebih selesa jika belajar di awal pagi. Pada malam untuk peperiksaan Kimia pada hari esoknya, saya tidur awal dan dorm Samudera kosong kerana pelajar semua bertungkus lumus menyudahkan ulang kaji. Tinggallah saya seorang di dorm tersebut.
Ketika sudah hendak lena, saya didatangi oleh seorang budak kecil dalam lingkungan lima tahun. Dalam keadaan gelap sebegitu saya tidak dapat pasti dari mana datangnya budak itu. Dia pun pergi ke sebelah katil saya dan berkata “abang! Minum air!” sambil menghulurkan segelas air kepada saya. Saya pun dalam keadaan bingung minumlah air tersebut, rasa air oren. Setelah memberi semula gelas kepadanya, tiba-tiba budak tadi lenyap dari pandangan. Saya terus bingung dan terduduk seorangan di atas katil. Dari datang budak tadi. Warden asrama pun semua masih bujang dan mana ada anak.
Kampung Bunian
Maktab kami terletak di sebuah kaki bukit. Memang pemandangannya begitu indah di waktu pagi. Kami selalu mendaki bukit itu di waktu riadah untuk melihat pemandangan laut Selat Melaka yang indah ketika itu.
Pada suatu malam, saya pernah terlihat seolah-olah sebuah kampung di atas bukit tersebut. Saya menjangkakan hanya kampung biasa. Jelas kampung tersebut mempunyai denai yang sepanjang denai tersebut diterangi oleh lampu-lampu seperti di “Ipoh Japanese Garden”. Denai tersebut menghubungkan satu rumah ke satu rumah. Dan kelihatan di setiap rumah itu ada penduduknya.
Apabila saya sering berborak dengan ustaz di MRSM tersebut. Sehinggakan pada suatu ketika, saya menyebut tentang kampung tersebut:
“Ustaz Rumi, kat belakang ni dulu saya pernah nampak macam ada kampung, tapi la ni dah macam dah tak dak orang ja” kata saya
Ustaz tersebut tersenyum sambil berkata,”Haha, dah ramai dah orang pernah nampak lagu tu, tapi orang kampung sini habaq tu lah kampung bunian.”
Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng, sekitar tahun 2006-2007.
Bagi saya di sinilah saya paling kerap diganggu oleh makhluk-makhluk sebegini. Tempat ini memang begitu ‘angker’ dan banyak cabaran ketika berada di sini.
Seperti biasa, pada malam yang pertama di KMPk, “ibu” saya akan “melawat” saya pada malam hari pertama saya di KMPk. Ketika itu saya baru habis taklimat di dewan dan pulang ke bilik. Ketika saya membuka pintu bilik, saya berasa amat terkejut apabila jelmaan ibu saya ada di dalam bilik. Mahu sahaja di tegur tapi “buat don’t know” je lah. Kemudian saya pun keluar pergi ke bilik member lain.
Kena Tindih.
Sepanjang saya sekolah asrama sejak tingkatan satu, saya sekalipun tidak pernah ditindih, sehinggalah di KMPk, baru saya ada pengalaman ditindih oleh benda yang tidak terjawab dan perkara ini berlaku berulang-ulang.
Lebih dahsyat lagi apabila pada satu pagi, saya sengaja melajakkan tidur saya selepas solat subuh dan kesannya, saya lewat ke kuliah. Ketika hendak bangun, sekali lagi saya ditindih, waktu itu saya ternampak jari-jemari mencengkam seluruh muka saya. Akhirnya saya berjaya melawan dengan membaca ayat-ayat al-Quran.
Apabila saya bangun, terasa seluruh badan saya kebas dan susah bergerak. Tiba-tiba, saya terasa kaki saya ditarik dan saya diheret oleh sesuatu yang tidak saya nampak sehingga ke meja belajar saya. Perasaan saya ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu. Saya terus bersiap dan pergi ke kuliah.
Gambar misteri
Imej misteri secara tidak sengaja di ambil
Saya baru sahaja membeli handset baru, siap ada kamera, maklumlah ketika itu bukan semua hanset yang mempunyai kamera. Saya sengaja hendak mencuba night-mode di dalam handset saya. Tiba-tiba imej yang tidak sepatutnya ada di dalam handset saya. Ianya gambar seolah-olah wanita yang serba bertelekung.
Selang beberapa hari selepas itu, rakan saya pula ingin mencuba camera handset barunya. Di tempat yang sama secara kebetulannya, kali ini imej yang tidak patut ada itu sekali lagi muncul. Ia muncul dalam bentuk seolah-olah seorang lelaki berjubah duduk sambil melihat seorang lagi rakan. Mukanya hitam legam.
Darkness Fall Versi UMT.
Semasa di UMT pula, saya berpengalaman melihat imej seram yg paling mengerikan. Ketika itu kami menginap di bilik hostel ANN 324, Asrama An-Nasai. Pada malam itu saya terasa ditindih. Lantas bangun, tetapi saya nampak bayang-bayang manusia yang menindih saya. Saya segera mengambil lampu suluh dan suluh kat lembaga itu. Apabila disuluh kelihatan lembaga bermata merah, berbadan tegap, bergigi tajam, muka cukup hodoh.. Mcm setan.. So.. Apa lagi.. Pengsan je lah.. Tapi pada pagi itu kawan-kawan sebilik saya semua mengaku ditindih.